Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Selandar atau lebih dikenali sebagai SISMe (Selandar Integrated School of Melaka) yang terletak di daerah Jasin, Melaka merupakan salah sebuah dari Sekolah Berasrama Penuh (SBP) di Malaysia. Pada awalnya, tapak sekolah ini adalah untuk dijadikan SMK Agama tetapi telah dipinda kepada Sekolah Berasrama Penuh Integrasi. Sekolah ini merupakan salah satu daripada 12 buah Sekolah Berasrama Penuh Integrasi yang terdapat di Malaysia dan salah satu daripada dua buah Sekolah Berasrama Penuh di Melaka yang dikawal selia oleh Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh (BPSBP) Kementerian Pendidikan Malaysia. Penubuhannya adalah selaras dengan falsafah SBP iaitu bertujuan memupuk dan memperkembangkan kebolehan murid-murid, berpotensi ke arah kecemerlangan sebagai insan dan warganegara yang seimbang dan bertanggungjawab terhadap tuntutan agama, bangsa dan negara.

         Penubuhannya adalah selaras dengan falsafah SBP iaitu bertujuan memupuk dan memperkembangkan kebolehan murid-murid, berpotensi ke arah kecemerlangan sebagai insan dan warganegara yang seimbang serta bertanggungjawab terhadap tuntutan agama, bangsa dan negara. Perkataan Integrasi yang tertera pada nama sekolah membawa maksud pengintegrasian tiga jenis aliran pembelajaran di bawah satu bumbung iaitu aliran Agama, Sains Tulen dan Sains Teknikal. Sejarah permulaan penubuhan SISMe telah terlakar pada tahun 2002 apabila sekolah ini mula dibangunkan di atas tapak seluas kira-kira 21 ekar di Lot 1193 Mukim Batang Melaka, Selandar, Jasin melalui Rancangan Malaysia Kelapan. Pada asalnya sekolah ini dinamakan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Selandar tetapi kemudian ditukar kepada Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Selandar pada 18 Julai 2003.

           Pembinaan SISMe secara ‘Runding terus’ (Design and Build) melalui kontraktor Consortium Ibjay Construction, Johor Bahru, Johor. Jurutera yang bertanggungjawab ialah Ir Md. Nasir Bin Hashim dari Haikal Jurutera Perunding Sdn. Bhd. Shah Alam, Selangor. Manakala syarikat yang dilantik mengurus projek pembinaan sekolah ini ialah Umi-Ross Project Management Sdn. Bhd. yang mana ibu pejabatnya berada di Petaling Jaya, Selangor. Pada pertengahan tahun 2003, SISMe telah siap dibina dan penyerahan secara rasmi sekolah ini kepada pihak Kementerian Pelajaran Malaysia telah dibuat pada 28 Julai 2003.

           Sektor Sekolah Berasrama Penuh Kementerian Pelajaran Malaysia telah melantik En. Karim Bin Bayok sebagai Pengetua SBPIS pertama pada 1 Mei 2003. Antara guru terawal berkhidmat di sekolah ini termasuklah Tn. Hj. Hassan Bin Samad, En. Ismail Bin Ahmad dan Cik Noraini Binti Abas yang telah melapor diri pada 16 Jun 2003. Diikuti oleh Pn. Norlian Binti Salim yang memulakan tugas sebagai guru perpustakaan mulai 1 Julai 2003. Penolong Kanan Akademik , En Sharif Bin Ebok dan Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Tn Haji Baharuddin Bin Husin pula telah menyertai jentera pentadbiran sekolah pada 16 Julai 2003. Turut melapor diri pada tarikh yang sama ialah Pn. Norrisah Binti Adam, seorang guru Matematik. Pn. Norsalawati Binti Aripin pula melapor diri pada 21 Julai 2003 dan mengajar mata pelajaran FIzik. Pada 1 Ogos 2003, Ustaz Ruzzalan Bin Che Soh dan Cik Amiza Binti Md. Zin pula telah dilantik sebagai warden asrama. Sehingga akhir September 2003, terdapat seramai 17 orang guru dan 7 orang kakitangan sokongan yang berkhidmat di sekolah ini.

           Pada 4 Ogos 2003, SISMe telah menerima seramai 121 orang (60 lelaki dan 61 perempuan) pelajar sulung tingkatan 1. Pelajar-pelajar ini ditempatkan di dalam 4 buah bilik darjah. Pada 26 Januari 2004 pula, seramai 111 orang pelajar tingkatan 4 telah mendaftar di sekolah ini ditempatkan di dalam 6 buah bilik darjah . Pada tahun 2005, seramai 116 orang pelajar generasi pertama SISMe telah menduduki peperiksaan PMR dan telah berjaya mendapat kedudukan kedua di Negeri Melaka dengan gred purata 1.21. Pencapaian ini telah membanggakan SISMe sebagai salah sebuah SBP walaupun masih berusia setahun jagung. SISMe terus mencatat kecemerlangan apabila seramai 111 orang pelajar sulung tingkatan 5 yang menduduki SPM 2005 telah mencapai gred purata 2.46, sebagai simbolik atas kejayaan pelajar-pelajar tingkatan 5 ini menamatkan tempoh pembelajaran menengah, sekolah buat julung-julung kalinya mengadakan Majlis Graduasi Kali Pertama pada 28 Ogos 2005 yang disempunakan oleh En. Zainal Bin Aman, Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Melaka (mewakili Pn. Azizah Binti Abdul Ghani, Pengarah Pelajaran Melaka). Sejak itu, Majlis Graduasi menjadi acara rasmi sekolah yang diadakan pada setiap tahun.

           Kejayaan yang begitu memberangsangkan ini telah menjadikan warga SISMe lebih bersemangat untuk bekerja keras dan terus menjulang nama sekolah. Peningkatan pencapaian SISMe dalam bidang akademik berterusan saban tahun, ini terbukti apabila sekolah telah dianugerahkan dengan Anugerah Tawaran Baru (Baiah) di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Pendidikan empat tahun berturut-turut iaitu pada tahun 2010 hingga 2013. Kecemerlangan SBP Integrasi Selandar dalam pelbagai bidang telah membolehkan sekolah ini diiktiraf sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi KOHORT 3. Kementerian  Pelajaran Malaysia yang diumumkan oleh Yang Berbahagia Dato’ Dr Rosli Bin Mohamed, Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran Malaysia mewakili YAB Tan Sri Dato’Haji Muhyiddin Bin Yasin, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Malaysia pada 27 Disember 2012, bertempat di Auditorium Parcel E, Kompleks Pentadbiran persekutuan Putrajaya. Sekolah juga telah mendapat pengiktirafan sebagai Sekolah Tahfiz Model Ulul Albab (TMUA) pada tahun 2017, Anugerah Sekolah Berkualiti daripada Jabatan Pendidikan Negeri Melaka pada tahun 2020, Pengurusan Kewangan berstatus BAIK pada tahun 2020 serta Sekolah TS25 Kohort 6 2021.

  SISMe  juga turut mencatatkan sejarah apabila memperoleh penarafan CEMERLANG bagi Pengauditan Penyata Kewangan dan Pengurusan Kewangan Sekolah bagi tahun 2021 dan 2022 manakala pada tahun 2023, SISMe  memperoleh Anugerah Kecemerlangan Pengurusan Kewangan  bagi Audit Dalam Kementerian Pelajaran Malaysia yang disampaikan  oleh Menteri Pendidikan , YB Fadhlina Sidek pada 19 Januari 2024 di Putrajaya.